IMG_6199

Segala puji bagi Allah memberi saya peluang melihat bumi yang asing, Kota Paris. Tatkala mendengar nama Paris, pasti terbayang di kepala, oh ia bandar yang romantik, angin sepoi-sepoi damai, pemandangan indah yang bersih, manusia yang bersopan-santun dan pelbagai perkara indah lagi menenangkan.

IMG_6250

Hakikatnya tidak semua begitu. Pemandu kenderaan tidak secermat warga di Britain. Ia bandar yang sesak manusia lagi bising dan membingitkan telinga. Lelaki jarang memberi laluan dahulu kepada kaum wanita. Ramai awam yang tidak beratur ketika membeli sesuatu. Sanitasi  bandar kurang terjaga namun ia ditutup sedikit dengan keindahan bagunan yang menawan jiwa. Beberapa orang  ditangkap apabila tidak membayar tiket keretapi, ia berlaku di depan mata saya dan anak-anak. Mungkin pembaca pernah mendengar tentang Paris Syndrome. Saya telah bersedia dengan sindrome tersebut. Mungkin ada antibodi tersedia di benak fikiran, makanya saya tidak begitu terkejut.

IMG_6243

Seperti sesetangah daripada kita sedia maklum, Paris kotaraya membeli-belah sepuas hati, jika poket penuh berisi. Di satu tempat bernama Printemps, gedung beli-belah yang gah, bangunan cantik betul-betul di pusat bandaraya, kota Paris yang terkenal di pelusuk dunia. Jenama-jenama yang hebat lagi popular seperti Chanel, Dior, Prada, Louis Vuitton, Mulberry, Long Champ, Gucci, sebut saja apa jenama mewah yang anda mahu, mungkin ada di dalam bangunan itu. Ia menyebabkan fikiran boleh hanyut lantaran dipampang dengan jenama yang menjadi dambaan hamba dunia itu.

IMG_6245IMG_6242IMG_6237

Namun, saya mahu membawa pembaca sekalian menjenguk sebentar keluar bangunan yang gah lagi terkenal itu. Kaki limanya agak kotor dengan sampah sarap. Saya fikir mungkin pekerja bandaraya bercuti hari itu. Ditambah pula dengan pengemis yang kelihatan sejuk lagi letih, yang melukut di tepi dinding kedai mewah itu. Di sebelahnya ada lelaki yang menjual kacang, menggunakan kuali lusuh, yang diletak di atas troli membeli belah pasaraya. Oh ramainya orang susah yang melata di luar bangunan mewah itu.

Mungkin ia pemandangan biasa bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi  saya. Kekayaan sepatutnya diagihkan secara adil dan saksama dan bukan milik orang kaya-kaya sahaja. Jurang kaya dan miskin yang begitu melebar begitu membimbangkan. Pemimpin yang kaya-raya, sebahagiannya kekayaan yang luar biasa sedang rakyat bawahan sedang mencatu perbelanjaan seharian yang semakin menghimpit. Saya terbayang-bayang jika saya sempat hidup di bawah pemimpin yang adil, amanah lagi takut pada Allah. Moga saya sempat melihat Umar Al-Khattab di zaman moden.

Memerhati pilihanraya dari jauh,

Ummu Abdain

Coplaw Street.