Baklava

Baklava. Asal resepi dari timur tengah. Sewaktu di Madinah Al-Munawwarah, baklava bukan makanan kesukaan, kini ia berubah. Baklava adalah pemanis mulut kegemaran saya. Baklava rasanya manis dan harganya jika di tanahair bukan murah seperti kuih-muih tempatan (walupun kuih tempatan tidaklah murah!!).

Pertama kali menjejak kaki ke Jerman, saya mengambil peluang menuntut ilmu membuat baklava versi Bosnia daripada ibu Merissa, seorang akauntan pertengahan umur yang lari dari perang Bosnia, kini menetap di Jerman.

Seusai kembali ke Glasgow, saya telah bereksperimen dengan resepi tadi. Kali pertama gagal, konsistensi baklava itu lembik. Kali kedua saya cuba lagi, kulit luar baklava pecah dan tidak menarik rupanya. Dan seterusnya banyak kali baklava saya menemui jalan buntu. Namun saya tidak patah semangat.

Setelah gagal beberapa kali, akhirnya saya berjaya membuat baklava mengikut spesifikasi yang saya kehendaki, rangup, isi yang tidak lembik dan rasanya saya kira boleh diterima.

Membuat baklava tidaklah mudah tetapi bukanlah terlampau sukar. Bahan-bahannya mudah didapati di sini. Kulit filo di kedai orang Arab. Kekacang di pasaraya berdekatan, harga kacang tidak semahal di tanahair.

Nampaknya, suami saya suka, mak Keramat juga begitu, apatah lagi anak kedua saya Abdul ‘Alim, dua tiga potong sekali hadap. Ini agak membahayakan kesihatan. Saya lantas membataskan konsumsi baklava untuk keluarga kami.

Kemudian saya cuba menghidangkannya kepada kawan-kawan dan jiran tetangga. Nampaknya respon positif. Lantas saya mengambil keputusan menukarkan baklava itu kepada pound, saya membuat baklva untuk dijual.

Puji pada Allah, yang Maha Memberi rezeki. Setakat ini transaksi telah mencecah ribuan ringgit. Saya membuat kuih dan suami menyapu sampah di bumi UK. Ia pekerjaan halal kami di bumi asing ini. Tambahan pula duit  biasiswa kami dikategori sebagai golongan kedua termiskin di UK. Semoga kami lebih dekat dengan Allah.

Ia mengujakan🙂

Ummu Abdain

Glasgow University