Membuat pembentangan merupakan perkara “favorite” saya semenjak sekolah hingga ke universiti. Saya suka bercakap sejak dulu. Saya pernah didenda sewaktu darjah 4 kerana terlalu banyak bercakap. Ia memori yang lucu. Mungkin kerana ini Allah melorongkan saya ke bidang akademik.

Beberapa hari yang lalu, saya telah dikehendaki untuk membentangkan hasil kerja saya lebih setahun yang lalu di hadapan berpuluh-puluh ahli institusi tempat saya menuntut ilmu. Prof Eleanor, Dr Scott selaku SV saya telah mengasuh saya untuk bersedia menghadapi pembentangan ini. Asuhan mereka bukan sedikit, saya kira jumlah mesyuarat saya bersama mereka menghampiri dua angka semata-mata untuk pembentangan ini. Prof Robert yang umurnya menghampiri 70 itu pun turut serta membantu saya dalam persediaan pembentangan ini.

Ini adalah kali pertama saya membuat pembentangan di khalayak besar, bukan di hadapan orang Malaysia, tetapi orang antarabangsa di mana majoritinya orang berkulit putih. Saya bimbang tatabahasa Inggeris saya yang akan berterabur tatkala membuka mulut di khalayak.

“Orang putih itu sangat pandai bahasa Inggeris”, getus hati saya.

Dengan puluhan kali berlatih di hadapan cermin, di hadapan anak-anak kecil saya yang berusia 3 dan 4 tahun, di hadapan suami dan emak, saya fikir persediaan saya masih suam-suam kuku. Keyakinan saya tidak sampai 60% pun.

Ternyata pembentangan saya pada petang itu saya kira tidak memberangsangkan. Suara saya agak bergetar. Namun saya pasrah, pada malam itu dengan lemah dan longlai saya melalui malam yang panjang, saya berharap malam itu sangat panjang supaya saya tidak perlu berhadapan dengan khalayak yang mendengar pembentangan saya tadi pada keesokan harinya.

Namun hari perlu diteruskan, keesokan paginya tatkala sampai di universiti, saya membuka daun pintu pejabat dengan longlai. Tiba-tiba Jos, rakan sepengajian berbangsa Inggeris berkata,

“Your presentation was good Izah”, saya fikir dia tersilap orang, saya menafikan sekeras-kerasnya.

Saya sangat cemas semalam, suara saya bergetar-getar, apakah dia tidak mendengarnya? Saya fikir dia hanya mahu bersopan-santun, ya masyarakat Britain suka bermulut manis. Kemudian datang lagi seorang wanita bernama Lorrain, dia merupakan salah seorang supervisor bagi pelajar PhD di sini,

“Your presentation was really good, your speech was clear and the content was great”,

“But my voice was clearly vibrating, I was nervous”

“No you were not”.

Pelik saya, suara saya memang bergetar semalam. Oh mungkin Lorrain duduk di belakang. Liz dan Elain juga memberi feedback yang sama. Saya sungguh hairan.

Tiba saat saya bermesyuarat dengan bos besar, Eleanor dan Scott. Hati saya berdebar. Saya fikir Eleanor akan membenamkan kepala saya di dalam air.

“Well, your presentation is not bad”. Ia sangat melegakan minda.

“Your presentation was good Izah, you managed to respond to the questions very well” kata Scott, tambah lagi lega.

Saya fikir mereka mengambil kira segenap sudut pembentangan, isi kandungan, cara penyampaian yang jelas, posisi tangan dan badan yang relevan, cara menjawab soalan ketika soal jawab, bukan sekadar suara bergetar yang memberi respon negatif kepada keseluruhan pembentangan. Ia world-view yang baru buat saya.

Sememangnya saya tahu persembahan saya pada petang itu tidak sebaik yang saya inginkan. Walaupun begitu, saya tidak nampak mereka ingin merendahkan akaun minda saya. Mungkin ini juga sebab mengapa bangsa mereka sangat jauh ke hadapan. Mereka merangsang kebaikan bukan menjatuhkan. Syukur kerana Allah memberi saya peluang bergaul dengan masyarakat seperti ini.

Nomad akademik,

Izah

Glasgow University.