Saya masih teringat lagi ketika di Madinah dahulu, kami isteri-isteri pelajar di Universiti Islam Madinah pernah berkumpul membentuk halaqah di luar masjid Nabi. Majlis itu diketuai dan dibimbing oleh Ummu Insyirah yang merupakan isteri kepada seorang pelajar master di sana. Kali terakhir kami berhalaqah, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan yang enak yang dibawa dari rumah masing-masing. Oh ia kenangan yang manis yang tidak boleh dilupakan. Semoga Ummu Insyirah (Kak Jie), Ummu Akmal (Kak Ela), Ummu Insyirah (Izzah), Ummu Abdirrahman (Ina), Ummu Maryam dan Ummu Atiyah sedang berbahagia di samping keluarga tersayang di tanahair.

Saya fikir kumpulan yang berbentuk keilmuan seperti ini perlu diteruskan di UK ini. Dengan kerjasama Komuniti Malaysia di sini, satu kumpulan khusus untuk Muslimat telah dibentuk. Tujuan asal kumpulan ini adalah untuk bertadarus pada bulan Ramadhan, kami membetulkan tajwid satu sama lain, membaca makna ayat Al-Quran, bertukar pandangan malah bertukar hidangan untuk berbuka.

Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan, kami berfikir untuk meneruskan kumpulan tadarus ini dengan nama tadarus pasca Ramadhan. Kali ini kami meneruskan aktiviti ini setiap hari Sabtu petang bergilir-gilir di rumah ahli-ahli kumpulan. Sekali lagi aktiviti minum petang akan berlangsung dengan meriah sekali. Sebut saja apa makanan, daripada mee kari, mee kungfu, mee sup, satay dan nasi impit, semuanya telah kami nikmati bersama-sama.

Saya merupakan adik yang paling bongsu dalam kumpulan ini. Umur saya masih muda berbanding kakak-kakak yang telah pun lebih 40-an. Saya berasa kecil, kecil dari segi ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Namun, saya telah diamanahkan untuk memberi pengisian berkenaan dengan Sifat Solat Nabi. Oleh kerana suami saya seorang pelajar pengajian Hadith, saya perlu memikul tugas untuk menjadi orang tengah untuk menyampaikan ilmu kepada ahli-ahli kumpulan ini. Saya berdoa semoga akan ada orang yang lebih berilmu untuk menggalas tugas ini. Saya kemudian mencadangkan supaya setiap ahli memberi pengisian mengikut cara fikir, buah pandangan dan cara mereka melihat dunia dalam sesuatu perkara. Kebanyakan mereka merupakan pensyarah kanan, pensyarah senior dan tinggi daya fikir. Maka saya terselamat, slot saya hanya dua minggu sekali.  🙂

Perasaan saya sangat terharu dengan komitmen ahli-ahli kumpulan memandangkan kehadiran mereka sangat-sangat menggalakkan. Ahli-ahli kumpulan ini merentas fikrah, merentas politik kepartian dan merentas asal keturunan dan pangkat serta darjat. Ia diversiti yang menarik.

Kehidupan di dunia ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan umpat-mengumpat, berdengki, busuk hati, mencela dan mengaibkan. Kita wanita tinggi harga diri. Terlalu banyak kebaikan yang boleh kita cipta untuk meningkatkan nilai kapital diri di depan Allah nanti. Semoga ukhuwwah ini kekal hingga ke akhir hayat. Ia usaha yang berkat, kumpulan ilmu yang dinaungi Malaikat.

Ahli kumpulan Tadarus Pasca Ramadhan

GCRC