Lega. Saya merasakan sebiji batu besar telah diangkat daripada bahu saya. Semalam saya telah mengharungi cabaran mini viva. Syukur pada Allah yang memberi rezeki.

Hari sebelumnya, perasaan saya bercampur-campur. Saya sangat gembira ketika dapat berkumpul bersama keluarga menyambut lebaran di Glasgow. Dalam pada yang sama saya takut kerana tarikh viva saya terlalu hampir. Lelah saya belum hilang ketika marathon berjalan-jalan lebih sepuluh tempat di UK bersama mak ayah, Along Adik dan keluarga. Namun, ia kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Mujur saya sempat menulis nota ringkas berkenaan projek tahun satu ini. Setiap hari saya akan menulis sekurang-kurangnya 10 perkataan (oh ia sangat sedikit!!!). Samada nota di buku, nota eksperimen, sms dan menconteng apa-apa tulisan, asalkan saya menulis. Rupanya hasil contengan saya dahulu ada faedahnya🙂

Pada petang itu, setengah jam sebelum sesi viva bermula, saya telah pergi ke bilik seminar Acute Stroke Unit yang terletak di hujung wad akut stroke di bangunan lama hospital West Infirmary. Ketika saya lalu di dalam wad tersebut, bau hospital menyengat deria, saya mula rasa rindu untuk berada di hospital. Tapi tidak mengapa, saya perlu fokus untuk menghadapi viva petang itu. Saya ada terdengar pelajar yang perlu mengulang viva tersebut kerana beberapa masalah, saya juga ada terdengar pelajar yang hanya di’viva’ 5 minit, dan saya juga ada terdengar pelajar yang teruk di’screw’ oleh accessor ketika viva ini. Oh pelbagai cerita ngeri dan gembira telah saya dengar dari mereka yang pernah melalui episod ini.

Saya hadir ke bilik seminar 40 minit lebih awal. Sebelum itu, saya telah ‘survey’ tempat viva ini, takut-takut saya tersesat. 10 minit sebelum sesi viva bermula, Dr Del seorang pensyarah merangkap saintis senior telah tiba. Dia merupakan wanita berambut perang yang berasal dari utara Wales. kami sempat berbual-bual sementara menanti ketibaan konsultan perubatan Prof Matt. Saya memanggil Dr Del dengan panggilan Del. Setiap hari Del akan memakai T-shirt dan jeans ke tempat kerja, ia pakaian yang ringkas. Kami mempunyai bilik pejabat di tingkat yang sama. Dia wanita yang baik dan mesra. Del bercerita bagaimana pengalamannya melahirkan anak perempuan ketika berada di awal pengembaraan PhD dan hamil 4 bulan anak seterusnya ketika dia sedang viva tahun akhir. Del mengambil masa selama 3 tahun untuk menyiapkan thesis. Cerita Del memberi inspirasi pada saya. Saya yakin wanita mampu berjaya di dalam keluarga dan kerjaya. Kami sempat berbual tentang ‘fracking’. Menurutnya, ramai rakyat di UK tidak bersetuju dengan aktiviti ‘fracking’ yang dikatakan akan menjana pulangan yang lumayan kepada UK. Sedikit info tentang fracking daripada kumpulan yang menentang projek ini, http://www.dangersoffracking.com/

Prof Matt terlewat. Kelewatannya memberi saya peluang menjeling nota sebaris-dua. Ketika tiba dia kelihatan termengah-mengah. Prof Matt merupakan seorang medical consultant yang sangat sibuk. Seorang lelaki berkulit putih yang tinggi menggalah. Dia kelihatan tegas dan pantas. Tanpa melengahkan masa sesi viva bermula. Saya diminta bercerita tentang projek Phd saya, latar belakang projek, isu yang saya pernah hadapi dan bagaimana saya mengatasi isu tersebut. Mereka turut bertanya tentang apa projek yang akan saya lakukan untuk tahun seterusnya dan masalah yang saya hadapi setakat ini. Sesi soal jawab berlangsung selama 11 minit.

Sesi yang pada mulanya agak monotonous bertukar menjadi sesi yang ‘enjoyable’. Kedua-dua mereka agak mesra dan baik. Mereka telah memberi ulasan bertulis terhadap viva saya dan secara kesimpulan mereka telah memberi komen berikut,
“In summary, Izah is making good progress in all aspects of her PhD project and we have no hesitation in recommending readmission into her subsequent year”.

Sesungguhnya ini rezeki daripada Tuhan Yang Maha Pemurah. Semoga saya menjadi hamba yang lebih dekat dengan Pencipta.

Izah
GCRC