Setiap hari saya ke makmal atau pejabat di universiti. Saya rasa gembira dan bersemangat sepanjang pengajian PhD ini. Kadang-kadang saya rasa aneh, mengapa saya begini. Menunggu bas di pagi hari, walaupun hujan lebat, angin kencang atau salji tidak pernah mematahkan semangat saya untuk ke universiti. Seingat saya, saya tidak pernah bersemangat seperti ini sewaktu belajar di peringkat ijazah muda dahulu. Mungkin kerana umur dan pemikiran saya lain jika dibandingkan tahun-tahun dahulu.

Apa yang lebih menggembirakan, mereka yang berada di sekililing saya di universiti terutama supervisor saya, mereka akan mengajar sekecil-kecil perkara yang saya jahil. Terlalu banyak perkara yang saya fikir saya masih bodoh. Apa yang menarik, apabila saya tahu saya bodoh, itu adalah nikmat bagi saya. Satu kenikmatan yang tinggi apabila mengetahui saya bodoh. Ini kerana saya akan cuba mengatasi kebodohan itu dengan belajar, belajar dan belajar. Tidak pernah sekali pun supervisor saya menurunkan semangat saya untuk terus belajar dan menjadi pandai. Walaupun saya masih belum pandai, tetapi perjalanan untuk keluar daripada kebodohan dan menjadi pandai itu sangat nikmat, tidak terungkap dengan kata-kata.

Saya juga sentiasa beringat di dalam minda, bahawa wang yang dibelanjakan untuk saya menjadi pandai ini bukan sedikit. Setelah membuat congak bodoh, lebih RM300 sehari duit biasiswa dibelanjakan untuk saya menjadi pandai. Oleh itu, jika saya tidak ke universiti, saya akan berada rugi, rugi masa dan rugi ilmu. Dan seringkali membuat eksperimen pada hari Sabtu dan Ahad itu adalah perkara yang menyeronokkan bagi saya.

Saya sentiasa beringat bahawa duit biasiswa itu duit rakyat. Duit cukai keluarga, saudara-mara dan masyarakat Malaysia yang membayar cukai dan ia disalurkan untuk menjadikan saya pandai. Duit itu hasil penat lelah rakyat Malaysia, hasil keringat warga tanahair saya yang tercinta. Saya sentiasa beringat tentang itu.

Mendengar berita bodoh daripada Malaysia, pembaziran wang rakyat, perletakan jawatan tanpa sebab kukuh setelah rakyat memilih dan menunggu pilihanraya baru yang akan menelan lagi duit rakyat, ini adalah berita-berita bodoh yang tidak sanggup saya dengar lagi.

Ini semua duit rakyat dan perlu kembali kepada rakyat. Pemimpin perlu keluar daripada kebodohan. Rakyat tidak bodoh.

Izah
GU