Kini saya di tahun 3 pengajian. Saya lebih tertumpu dan lebih selesa, lebih-lebih lagi setelah berpindah bilik pejabat, hanya ada 6 orang di bilik kami dan selalunya kosong. Dr Umar, Jahad, Abdul Aziz dan Chris. Saya fikir jika kami semua muslim dan hanya Chris yang tiada beragama, maka patut kami memperkenalkan Islam padanya. Chris juga bukan calang-calang, pembacaannya luas. Moga Allah mudahkan jalan dakwah ini, saya adalah orang yang cetek ilmu.

Masa kini lebih menghimpit, saya perlu memakai topi berbeza di universiti dan di dalam makmal, memakai topi yang berlainan di rumah sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak yang semakin membesar, memakai topi berbeza di dalam komuniti Malaysia di sini. Setiap jam adalah sangat berharga. Jika ada bank atau sesiapa yang boleh memberi pinjaman masa atau menjual masa, saya adalah orang yang yang akan membelinya.

Kadang-kadang saya terfikir bahawa banyak masa saya terguna untuk perkara sia-sia. Bercakap perkara sia-sia, berbincang yang membuang masa, berbeza pandangan yang merugikan diri saya sendiri. Setiap orang yang Allah datangkan kepada saya adalah untuk saya belajar daripada mereka. Saya perlu memperbaiki diri yang seringkali terbabas. Moga Allah datangkan lagi kepada kami sekeluarga mereka yang tinggi budi pekerti lagi dalam ilmu pengetahuan, moga-moga kami sekeluarga mendapat pengajaran untuk bekal di akhirat nanti.

Bila saya membuat kira-kira, secara purata hanya kurang daripada 4 sejam sehari saya dapat bersama anak-anak. Itu angka yang mendukacitakan. Saya perlu luangkan lebih banyak masa untuk mereka. Semalam Abdul Bari tidak mahu saya membancuh susu untuknya, katanya

“Mama tak pandai buat susu abang, nak baba je buat”. Oh, alangkah dukacita hati saya pada hari itu.

Terima kasih buat permata hati, suami yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi segala sokongan kepada saya di kala masa saya untuk keluarga semakin terhimpit. Saya bertekad untuk membancuh susu dengan lebih baik mulai hari ini.

Boleh pinjamkan saya masa anda?

Ummu Abdain
GCRC