Sekiranya kita mempunyai rezeki yang lebih yang Allah kurniakan, adalah sangat baik jika kita menginfakkan harta itu. Soalnya kepada siapa?

اِذَاكَانَ اَحَدُكُمْ فَقِيْرًا فَلْيَبْدَاْ بِنَفْسِهِ. وَاِنْ كَانَ فَضْلٌ فَعَلَى عِيَالِهِ. وَاِنْ كَانَ فَضْلٌ فَعَلَى ذَوِى قَرَابَتِهِ اَوْ قَالَ : ذَوِى رَحِمِهِ . وَاِنْ كَانَ فَضْلٌ فَهَاهُنَا وَهَاهُنَا

“Jika kamu seorang yang fakir, maka mulakanlah sedekah pada dirimu sendiri. Jika ada kelebihan, berilah kepada keluargamu. Jika masih ada kelebihan, sedekahkanlah kepada kerabatmu. Dan jika masih ada kelebihan, maka berikanlah kepada sesiapa yang lebih memerlukan”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Bersedakahlah kepada orang yang paling rapat dengan kita, ibu-bapa kita, isteri atau suami kita, anak-anak kita, cucu-cucu kita, adik-beradik kita dan sanak-saudara yang memerlukan.

دِيْنَارٌ اَنْفَقْتَهُ فِىسَبِيْلِ اللهِ وَدِيْنَارٌ اَنْفَقْتَهُ فِى رَقَبَةٍ وَدِيْنَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِيْنٍ وَدِيْنَارٌ اَنْفَقْتَهُ عَلَى اَهْلِكَ اَعْظَمُ اَجْرًا اَلَّذِى اَنْفَقَتْهُ عَلَى اَهْلِكَ

“Satu dinar kamu infakkan pada jalan Allah, sedinar diinfakkan untuk membebaskan hamba, sedinar engkau sedekahkan kepada orang-orang miskin dan sedinar engkau infakkan kepada keluarga engkau, yang paling besar pahalanya yang diinfakkan kepada keluarga engkau”. (Hadis Riwayat Muslim).

Saya agak pelik sekiranya ada yang mempunyai kelebihan harta sibuk bersedekah kepada orang yang jauh-jauh sedangkan orang yang paling hampir dengan kita dalam keadaan memerlukan.

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَصَدَّقُّوْا : قَالَ رَجُلٌ : عِنْدِى دِيْنَارٌ. قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ. قَالَ : عِنْدِى دِيْنَارٌ آخَرُ. قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ. قَالَ : عِنْدِى دِيْنَارٌ آخَرُ. قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ. قَالَ : عِنْدِى دِيْنَارٌ آخَرُ. قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَىخَادِمِكَ. قَالَ عِنْدِى دِيْنَارٌ آخَرُ. قَالَ : اَنْتَ بِهِ اِبْصَر

“Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, bersedekahlah kamu: Seorang lelaki berkata: Saya mempunyai satu dinar. Bersabda Nabi: Sedekahlah kepada dirimu sendiri. Orang itu berkata lagi: Saya ada sedinar lagi. Bersabda Nabi: Bersedekahlah untuk isterimu. Orang itu berkata lagi: Saya masih ada sedinar. Bersabda Nabi: Sedekahlah untuk anakmu. Orang itu berkata lagi: Saya masih ada sedinar. Bersabda Nabi: Bersedekahlah untuk pekerja (kuli) kamu. Orang itu berkata lagi: Saya masih ada sedinar lagi. Bersabda Nabi: Engkau lebih mengetahui kepada siapa harus engkau berikan”. (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasai’i dan al-Hakim)

Sedekah bukanlah untuk mendapat nama dan penghargaan, sedekah juga bukan untuk dihebahkan untuk mendapat sanjungan dan sedekah juga bukan untuk mengharapkan balasan. Sedekah itu untuk tabungan amal kita di alam akhirat nanti.

Tanamkan sikap murah hati untuk ibu-bapa, untuk suami/ isteri, anak-anak, anak-anak buah dan kerabat yang lainnya. Belikan hadiah dan berikan sedekah kepada mereka. Saya yakin Allah akan memberikan ganjaran lebih besar daripada jumlah yang dikeluarkan itu.

Kita pasti tahu siapa di antara orang terdekat kita dalam keadaan yang kurang dan memerlukan. Jangan berlaku zalim terhadap orang terdekat yang memerlukan bantuan kita.

Semoga Allah memberi keteguhan kepada kita untuk tetap berbakti kepada mereka yang hampir dengan selagi mana mereka memerlukan.

Jangan sampai kita seperti pepatah ini, “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Islam itu adil, maka tugas kita untuk menjalankan keadilan yang telah digariskan.

Pelik lagi ajaib.
GCRC