“We spend money that we do not have, on things we do not need, to impress people who do not care.”
Will Smith

“Kita berbelanja duit yang kita tidak ada, untuk barang-barang yang kita tidak perlu, untuk menarik perhatian orang yang tidak peduli pun”, kata Will Smith. Kita golongan muda mesti berhati-hati mengendalikan wang, simpan sebanyak mungkin, jangan sewenang-wenang berhutang dan abaikan cara orang lain berbelanja. Kita yang mengawal kewangan kita sepenuhnya, moga-moga kita boleh menjadi jutawan. Bagaimana kita mahu menjadi jutawan? Caranya begini:

Perkara pertama yang perlu kita buat selepas menerima wang gaji ialah dengan menyimpan. Berbelanja di bawah kemampuan, bukan dengan kadar kemampuan. Jika wang gaji kita RM3000, peruntukan paling kurang RM300 (10%) untuk simpanan, itu paling sedikit, lebih banyak lebih baik. Jika kita mula menyimpan RM300 sebulan mulai sekarang, untuk tempoh 30 tahun akan datang, dengan kadar dividen 6%, kita sekurangnya-kurangnya akan mempunyai suku juta dalam akaun simpanan. Formulanya, simpan dahulu baru bakinya kita berbelanja. Simpanlah di tempat yang mempunyai kadar dividen yang stabil. Kadar dividen inilah yang akan membantu kita menjadi jutawan di samping amalan menyimpan secara konsisten. Ini dinamakan compounding dividen. Compounding dividen, 8th wonder of the world. Satu lagi, cuba simpan di tempat yang sukar dikeluarkan atau yang tiada kad ATM. Minta mak ayah simpankan buku bank jauh-jauh supaya kita tiada akses untuk simpanan tersebut.

Yang kedua, jangan terjebak dengan kad kredit dan hutang peribadi. Beli barangan secara tunai dan bukan hutang. Beli barangan ikut kemampuan. Saya pernah dengar ada yang menggunakan pinjaman peribadi untuk membeli handbag Louis Vuitton, alangkah ruginya. Boleh jika kita mampu tetapi bukan dengan berhutang.  

Yang ketiga, kita perlu teliti ke mana wang kita keluar. Setiap wang keluar disebabkan pembaziran adalah sia-sia. Selalulah masak di rumah dan bukan makan di luar, di sini saya boleh berjimat sehingga £5 setiap kali saya membawa bekal ke pejabat. Lebih bersih dan selamat, pastinya jimat. Hasilnya saya boleh menyimpan beratus pound di hujung bulan.

Yang keempat, pelbagaikan cash flow kita supaya sentiasa positif. Di samping pelaburan kekal sebagai pendapatan pasif, perniagaan sambilan juga boleh memguntungkan. Perniagaan adalah sumber aliran wang masuk yang menyeronokkan. 

Yang kelima, elakkan hutang kenderaan. Seboleh mungkin, beli secara cash (jika mampu), jika tidak pastikan pinjaman yang dibuat adalah yang paling pendek tempohnya. Nilai susut kereta terlalu tinggi, rugi jika saya berhabis membeli kereta secara hutang. Tiada hutang bagi kereta.

Dan keenam, yang paling penting sekali untuk mencapai target jutawan, di samping zakat, kita sangat sangat sangat perlu laju juga bersedekah, bersedekahlah terutama kepada yang hampir dengan kita. Sedekahkan wang untuk pendidikan mereka, sedekahkan wang untuk keperluan harian, dan apa-apa bentuk sedekah. Percayalah ia sangat menenangkan jiwa.

Menyimpanlah, moga menjadi jutawan dunia akhirat.

Ummu Abdain

GCRC