IMG_5436
MashaAllah tabarakallah. Abdul ‘Alim dilahirkan di tanahair, di Hospital Ampang. Beratnya hampir 4kg, hampir tersangkut ketika kelahiran akibat saiznya, hinggakan konsultan memberi saya pilihan untuk pembedahan beberapa minggu sebelum kelahirannya. Tahun ini dia akan menginjak ke usia 5 tahun beberapa bulan akan datang. Dia anak kedua yang penyabar, lembut tutur kata dan periang. Abdul ‘Alim sangat jarang memulakan apa-apa perbalahan, tapi kalau dah diusik berkali-kali, tunggulah akibatnya.

WP_001917

Di nursery, dia suka melukis hinggakan salah seorang gurunya mempelawa Abdul ‘Alim mewakili nursery mereka untuk pertandingan melukis akan datang. Baru-baru ini lukisannya dipamer berhampiran pintu masuk nursery, dia melukis harimau, ular dan burung hantu (namun gurunya menyangka burung hantu itu adalah monyet).

IMG_4457

Sejak dari kecil, kami akan membeli berkotak-kotak kertas putih, pensel dan warna. Nenek Abdul ‘Alim dan Abdul Bari sering mengingatkan saya supaya mengajar anak memegang pensel dari kecil lagi, supaya anak suka untuk menulis dan dapat melatih anak memegang pensel dengan betul. Abdul ‘Alim suka melukis haiwan terutama singa, harimau dan kucing. Dia juga suka melukis gambar babanya bercermin mata dan berjanggut panjang dan saya memakai tudung yang bulat dan gambar abangnya yang lebih tinggi daripada gambarnya. Abdul ‘Alim belum melihat lagi hasil lukisan Atuk Seremban, Atuk pandai melukis karikatur ala Majalah Gila-Gila, majalah humor yang terkenal pada tahun 90-an dahulu. Atuk sangat pandai melukis.
adik makan

Abdul ‘Alim juga suka makanan. Selalu perkataan yang keluar dari mulutnya adalah makanan dan makanan. Dia suka makan telur, nasi dan kicap. Itu sudah cukup ditambah dengan segelas susu segar di tepi pinggan.
DSC02792

Abdul ‘Alim menyusu badan lebih dari 3 tahun. Abdul ‘Alim juga ada seorang ibu susu, iaitu ibu saudaranya yang merupakan kakak kesayangan saya. Ibu telah menyusukan Abdul ‘Alim ketika dia kecil dahulu, ketika saya keluar bekerja pada hari hujung minggu. Maka dia adalah adik-beradik susuan dengan Aisyah, yang juga anak susuan saya. Telah hampir setahun tidak bertemu dengan keluarga di tanahair.

Berbalik kepada perihal alatan menulis, ketika berbual dengan kawan-kawan saya di sini dan Malaysia, rupanya harga peralatan menulis dan melukis naik dengan mendadak. Pensel 2B sahaja RM2.50 sebatang (semasa zaman saya dahulu sebatang berharga RM0.20), pensel warna Luna 12 batang berharga lebih kurang RM30. Ini belum masuk harga alatan tulis yang lain. Saya terkejut. Betapa nilai RM1 itu sudah tidak ada apa-apa kini. Saya tidak dapat membayangkan berapa belanja yang perlu dikeluarkan untuk menyekolahkan anak beberapa tahun mendatang. Moga Allah mudahkan urusan kita semua untuk mendidik anak di tanahnair.