Beberapa ketika yang lalu, saya telah dilantik menerajui satu biro di dalam salah sebuah persatuan di sini. Ia bukan tugas yang mudah ditambah lagi pada tahun tersebut biro kami beserta biro-biro yang lain perlu menguruskan kontinjen dan atlet Malaysia yang datang menyertai sukan Komanwel di sini sewaktu majlis berbuka puasa dan majlis sambutan hari raya. Ia lebih mencabar lagi apabila saya bersama dua anak kecil, suami malah sedang berada dalam tahun 3 pengajian ketika itu. Namun Allah itu Maha Adil, perjalanan PhD saya sangat lancar.

Antara aktiviti lain yang diterajui oleh biro kami ialah mengadakan nurseri untuk anak-anak sewaktu program biro lain sedang berlangsung, menganjurkan pasar jualan secara online dengan kerjasama sebuah persatuan lain di sini dan lain-lain aktiviti yang menarik.

Setiap kali saya membeli barang untuk biro kami, saya akan membeli sekurang-kurangnya dua set permainan. Satu untuk persatuan dan satu lagi untuk kegunaan anak-anak saya (menggunakan wang sendiri sudah tentu). Saya takut, saya takut anak-anak saya menggunakan permainan yang bukan milik mereka, apatah lagi jika mainan tersebut hak milik persatuan. Saya begitu takut jika kami ada terguna barang milik awam di sini.

Setelah beberapa bulan saya merehatkan diri daripada aktiviti persatuan, saya kembali membantu menguruskan aktiviti nurseri. Namun, saya menjadi sedih apabila barang-barang tersebut menjadi terbiar, koyak rabak malah banyak alatan mainan yang hilang dalam simpanan. Bukankah ia milik awam yang perlu dijaga dengan amanah? Tidakkah kita rasa takut jika kita yang menyebabkan kehilangan harta awam meskipun sebatang pensel?

Ini baru mengendalikan sebuah persatuan kecil, belum lagi menjadi pemimpin di peringkat negara. Moga Allah memberikan kita pemimpin yang amanah lagi takut pada Allah.

p/s: Ini belum lagi termasuk dengan tugas pemimpin yang perlu menjaga KEBAJIKAN dan KESELAMATAN ahli di bawah mereka. Melihat perilaku pemimpin pada hari ini adalah sangat menyedihkan. Memang benar, sukar untuk menjadi pemimpin.

Regards
Mantan ketua biro persatuan kecil
GCRC