Tahun ini adalah tahun keempat meraikan bulan Ramadhan di bumi perantauan pada musim panas. Berpandukan Skyprayer sebagai rujukan waktu solat, bermula lebih kurang +/-3.30 pagi waktu Subuh hingga jam +/-10.00 malam. Hampir 20 jam berpuasa jika dibundarkan. Ia waktu yang panjang. Dan cabaran bukan sedikit. Namun suhu dingin Glasgow sekitar 14 darjah celcius banyak membantu saya melalui saat-saat puasa yang panjang ini.

Kawan-kawan yang belum Islam di pejabat seringkali terkejut dengan waktu puasa yang panjang itu. Malah ada yang menyangka umat Islam berpuasa selama satu bulan tanpa berbuka. Sampai ada yang mahu memeluk saya tanda mereka kasihan saya berpuasa dan masih berada di makmal pada jam 9 malam! Namun saya fikir ini satu peluang bagi saya berbual dengan mereka tentang Ramadhan dan saya mahu mereka tahu bahawa puasa membantu saya lebih fokus dengan kerja di makmal. Puasa tidak mengganggu komitmen saya pada kerja PhD ini. Apalah sangat kesukaran ini, ada saudara seagama saya yang melalui detik berpuasa yang lebih sukar, peperangan, kemiskinan dan macam-macam lagi.

Sepanjang peninggalan suami dan anak-anak yang balik ke tanahair, saya ditemani kawan-kawan yang baik hati dan mulia akhlak. Kami membaca Al-Quran bersama, berbuka bersama, solat bersama, masak bersama pada hari-hari tertentu. Moga Allah memberi kebaikan yang banyak kepada sahabat-sahabat saya yang yang tinggi budi pekerti ini. InshaAllah semoga kumpulan kebaikan ini akan berterusan selepas tempoh Ramadhan ini.

Saya begitu hiba, Ramadhan akan meninggalkan saya lagi, ia masa yang begitu singkat meskipun tempohnya panjang.

Nomad akademik di hujung Ramadhan,

Izah