Kisah ini diceritakan oleh Nora. Dia punya kawan yang dalam kesempitan wang. Kawannya itu telah meminjam sejumlah wang beberapa tahun yang lalu. Hinggakan Nora hampir terlupa berkenaan dengan pinjaman tersebut. Benarlah, kita perlu membuat perjanjian bertulis jika memberi hutang supaya tiada yang terlupa di kemudian hari, walau berapa pun jumlah pinjaman tersebut. Kerana hutang adalah tetap hutang walaupun jumlahnya beberapa sen sahaja.

Kawan Nora mengadu tentang kesusahan hidupnya. Punya anak ramai dan hidup di ibu kota. Banyak bayaran bil dan komitmen yang perlu ditanggung. Nora yakin dengan kepayahan kawannya tersebut. Tambah lagi segala kos hidup yang naik mendadak di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini. Akhirnya Nora telah memberi pinjam sejumlah wang untuk sahabatnya yang di dalam kesusahan itu.

Pada suatu hari, Nora telah mendapat berita bahawa ramai mahasiswa yang mendapat biasiswa yang kadarnya masih rendah,tidak naik mencanak sebagaimana mencanaknya kenaikan kos sara hidup. Mahasiswa perlu mengikat perut, mengira baki wang yang ada di tangan setelah ditolak wang untuk menampung pengajian, itu belum lagi dikira sewa rumah dan perbelanjaan asas yang lain. Apalah sangat pendapatan mahasiswa ini. Namun ada yang sanggup membanting tulang bekerja kerja tambahan untuk menampung kehidupan sebagai pelajar. Ini bukan mudah, seharusnya seorang pelajar perlu diberi bantuan kewangan yang mencukupi, tugas mereka menimba ilmu bukan dibebani dengan hutang apalagi perlu mencari pekerjaan tambahan.

Hutang

Oleh itu Nora telah bersedekah sebanyak RM100 kepada mahasiswa yang hidup dalam kekurangan wang. Ajaibnya, pada keesokan harinya, Nora telah menerima bayaran hutang sahabatnya sebanyak RM100, hutang yang Nora sendiri telah luput dalam ingatan. Ia jumlah yang sama dengan jumlah wang yang Nora sedekahkan. Ini kejadian yang tidak disangka oleh Nora!!!

Benarlah memberi sedekah itu tidak memiskinkan, tetapi menambah harta dan pahala!!! Pahala memberi sedekah dan pahala memberi hutang.

Kisah Nora memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya.

P/s: Ya Allah mudahkan hidup rakyat di Malaysia. Mudahkanlah Ya Allah.

Ummu Abdain
GCRC
University of Glasgow