Beberapa tahun yang lalu, saya terjumpa dengan pelajar warga Iraq yang menyambung pengajian Phd di University of Glasgow. Kita semua tahu, betapa Iraq negara yang baru bangun dari peperangan. Saya bertanya kepada pelajar terbabit,
“Adakah Iraq tetap menghantar rakyatnya melanjutkan pengajian sewaktu perang?”
Jawabnya tenang,
“Sudah tentu, yang berperang berperang, pendidikan rakyat tetap diutamakan”.

Saya terkesima dan terperanjat. Saya bertambah terperanjat lagi apabila mendapat berita daripada sumber yang kukuh bahawa Malaysia kini menghadkan penghantaran ke pelajar ke luar negara. Malah ada universiti yang menghentikan terus penghantaran ke luar negara.

Ya, sumber ekonomi kita berkurang akibat banyak faktor, harga minyak mentah turun mendadak. Tetapi adakah cara berjimat yang paling utama dengan menghentikan pelajar ke luar negara?

Bagaimana Iraq boleh tetap menghantar pelajarnya ke luar dalam keadaan negara bukan sahaja bermasalah ekonomi tetapi kacau bilau??? Memang patutlah orang Iraq terkenal dengan daya intelektual yang tinggi dari dahulu hingga kini.

Adakah pemikiran pembuat dasar dan pemimpin ada tercicir di mana-mana? Ahh, serabut sel neuron saya mengenangkan cara fikir begini.

Hingga ke hari ini, akan kelihatan warga Iraq yang bertebaran sekitar universiti. Malah sahabat anak-anak saya juga ada yang berasal dari Iraq, namanya Abdullah. Ayah Abdullah merupakan pensyarah di University of Baghdad, juga pelajar Phd di University of Glasgow. Moga Allah merahmati dan melindungi warga ilmu Kota Baghdad.

p/s: Pesanan untuk diri dan mereka yang mendapat biasiswa duit rakyat, kita PERLU BALIK berkhidmat kepada rakyat, meskipun tawaran pekerjaan di luar negara sangat mengiurkan.

Yang menadah ilmu emas di luar negara,
Izah