Minggu tersebut saya tidak boleh ke mana-mana. Saya perlu menyudahkan Chapter 7, chapter kedua terakhir sebelum menyerahkannya kepada Dr Scott. Dalam masa yang sama, pembetulan Chapter 1 oleh Prof Fraser perlu diselesaikan. Kepala saya berat.

Sudahlah komputer di universiti tidak selaju di rumah, saya perlu berulang alik dengan kerap universiti dan rumah yang jaraknya 5 minit perjalanan. Graph Pad Prism 6 ada di rumah, tidak di universiti manakala EndNote 7 ada di universiti, tidak di rumah.

Kerja sekolah anak-anak dan sesi mengaji mereka diuruskan suami, saya memasak makanan seringkas mungkin untuk menjimatkan masa. Jadual saya dan suami ketat dengan pengajian Phd kami dan mengurus anak-anak sendiri tanpa khidmat pembantu. Ia mencabar, setiap saat adalah begitu berharga.

Tiba-tiba saya mendapat berita daripada Along, mak didiagnose menghidapi minor stroke. Mata saya berpinar dan fikiran berpusing. Ia sangat memeranjatkan. Tangan saya menggigil ketika menerima berita itu. Otak terhenti memikirkan kerja penulisan yang masih menimbun.

Mak tidak boleh berjalan, seluruh tangan kiri kaku, penglihatan mak gelap. Ayah kata semua ni berlaku waktu Subuh, mak sedang mengaji Al Quran, tiba-tiba mak menunduk ke depan dan air liur mak meleleh.

Ayah terus bawa mak daripada masjid ke hospital Seremban. Mak disahkan mempunyai minor stroke, namun keadaan mak semakin merosot. Mak menghidapi cerebrovascular accident with left hemiparesis. Mak disahkan stroke.

Bersambung…

Anak Cikgu Zainab

Hospital Seremban