Kisah Hutang & Kuasa Sedekah

Kisah ini diceritakan oleh Nora. Dia punya kawan yang dalam kesempitan wang. Kawannya itu telah meminjam sejumlah wang beberapa tahun yang lalu. Hinggakan Nora hampir terlupa berkenaan dengan pinjaman tersebut. Benarlah, kita perlu membuat perjanjian bertulis jika memberi hutang supaya tiada yang terlupa di kemudian hari, walau berapa pun jumlah pinjaman tersebut. Kerana hutang adalah tetap hutang walaupun jumlahnya beberapa sen sahaja.

Kawan Nora mengadu tentang kesusahan hidupnya. Punya anak ramai dan hidup di ibu kota. Banyak bayaran bil dan komitmen yang perlu ditanggung. Nora yakin dengan kepayahan kawannya tersebut. Tambah lagi segala kos hidup yang naik mendadak di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini. Akhirnya Nora telah memberi pinjam sejumlah wang untuk sahabatnya yang di dalam kesusahan itu.

Pada suatu hari, Nora telah mendapat berita bahawa ramai mahasiswa yang mendapat biasiswa yang kadarnya masih rendah,tidak naik mencanak sebagaimana mencanaknya kenaikan kos sara hidup. Mahasiswa perlu mengikat perut, mengira baki wang yang ada di tangan setelah ditolak wang untuk menampung pengajian, itu belum lagi dikira sewa rumah dan perbelanjaan asas yang lain. Apalah sangat pendapatan mahasiswa ini. Namun ada yang sanggup membanting tulang bekerja kerja tambahan untuk menampung kehidupan sebagai pelajar. Ini bukan mudah, seharusnya seorang pelajar perlu diberi bantuan kewangan yang mencukupi, tugas mereka menimba ilmu bukan dibebani dengan hutang apalagi perlu mencari pekerjaan tambahan.

Hutang

Oleh itu Nora telah bersedekah sebanyak RM100 kepada mahasiswa yang hidup dalam kekurangan wang. Ajaibnya, pada keesokan harinya, Nora telah menerima bayaran hutang sahabatnya sebanyak RM100, hutang yang Nora sendiri telah luput dalam ingatan. Ia jumlah yang sama dengan jumlah wang yang Nora sedekahkan. Ini kejadian yang tidak disangka oleh Nora!!!

Benarlah memberi sedekah itu tidak memiskinkan, tetapi menambah harta dan pahala!!! Pahala memberi sedekah dan pahala memberi hutang.

Kisah Nora memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya.

P/s: Ya Allah mudahkan hidup rakyat di Malaysia. Mudahkanlah Ya Allah.

Ummu Abdain
GCRC
University of Glasgow

Advertisements

Sahabat Tinggi Budi Pekerti

Hari itu saya terharu mengenangkan akhlak mulia seorang sahabat ini, dia memberi makanan tanda ingatannya pada saya. Ia sungguh sedap dan menyelerakan. Ini bukan sekali, tetapi berkali-kali. Moga Allah memberi kebaikan sangat banyak dalam hidupnya di dunia dan akhirat.

image

Sepanjang beberapa tahun di sini, dia banyak membantu saya dalam pelbagai urusan di sini. Dia juga tidak lupa mengepilkan kad dan hadiah sewaktu hari kelahiran saya. Sahabat saya ini penyantun dan baik hati. Jarang benar saya mendengar keluh-kesah dan kata negatif daripadanya. Apalagi berkata kurang enak tentang orang lain, tidak pernah. Semuanya tentang perkara baik-baik dan penuh kata semangat. Dia orang yang jernih, yang perlu dihargai dalam hidup ini.

Sepanjang hidup ini, kita akan berjumpa pelbagai corak sahabat. Ada yang putih jernih dan yang hitam berkeladak. Ramai yang putih jernih di sekeliling kita, bersahabatlah dengan mereka. Pilihan kita untuk bergaul dengan siapa.

Perkara kecil dan remeh perlu ditolak sejauh mungkin, kerana hidup ini terlalu pendek untuk dibazirkan. Kita perlu terus menabur kebaikan dan tinggalkan perkara sia-sia.

Moga Allah mendekatkan diri ini dengan sahabat-sahabat yang mulia budi pekerti dan jauhkanlah dengan yang sebaliknya.

Mama Abdayn
BHF GCRC

Siri Kembara UK: Kelas Renang Anak-Anak

Hujung minggu kini semakin sibuk, ditambah lagi kelas renang Abdul Bari dan Abdul ‘Alim pada hari Sabtu dan latih-tubi renang mereka pada hari Ahad.

image

Di dalam satu kumpulan tidak ramai, maksimum 6 orang sahaja, dilatih oleh seorang tenaga pengajar. Baju renang anak-anak yang dibeli 4-5 tahun lalu masih elok, goggles dan swimming cap sahaja yang dibeli baru, harga di sini sangat mampu milik.

image

Nampaknya anak-anak semakin confident untuk berada di dalam kolam renang, tidak perlu lagi bergayut pada mama dan baba.

Semoga anak- anak menjadi perenang yang cekap satu hari nanti dan boleh menyebarkan kebaikan renang ini kepada orang lain.

Mari berenang
Mama

Siri Warna-Warni Phd: Fasa Menulis Tesis

Beberapa bulan lepas, bermulalah perjuangan saya menulis tesis. Syukur   pada Tuhan Yang Maha Pemurah, saya telah menghantar bab pertama. Menulis satu demi satu perkataan, secara perlahan-lahan tetapi berterusan, ia membuahkan hasil.

image

Tips menulis tesis:
1) Pergi kursus cara menulis tesis mengikut kriteria yang universiti inginkan dan siapkan diri dengan software yang akan digunakan ketika menulis (microsoft word, excel, graphpad, foxit reader, endnote etc etc etc).
image

2) Rangka topik dan sub-topik yang ingin ditulis, ini perlu perbincangan dengan supervisor.

3) Sediakan ruang kerja dan kemudahan yang selesa untuk menulis (? Meja yang luas, ?2 skrin komputer, ?naikkan kelajuan komputer).

4) Tulis mengikut topik dan tidak melompat-lompat, lebih fokus dah tak letihkan sel otak.
5) Tetapkan spesifik masa untuk habis menulis setiap topik, ni kena realistik.
6) Pastikan kita disiplin capai target tersebut, kalau dapat capai, i win!!
7) Pastikan hubungan dengan supervisor adalah “compatible”!!!

Ok, lepas habis menulis silalah bersiap balik, anak-anak dan suami menunggu tu…kena seimbang seimbang dan seimbang..  😅

Menulis tesis
Izah

Siri Kembara UK : Tempat Makanan Halal di Glasgow (Wokway, Sauchiehall Street).

image

Di Glasgow, banyak tempat makan yang halal. Jika teringin makan ala-ala gerai di Malaysia i.e nasi goreng atau mee goreng, boleh cuba makan di Wokway di Sauchiehall Street. Ada diskaun dari pukul 11 hingga ?4 petang. Ada perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah juga. Boleh dapat diskaun juga jika ada kad pelajar 🙂

image

image

image

Pilih jenis mee atau nasi, kemudian buat pilihan ayam, daging, udang atau itik dan pilih sos kesukaan i.e sos pedas, sos teriyaki, sos masam manis dan sebagainya. Meraka akan menggoreng pilihan kita tadi dengan telur dan sayur-sayuran. Boleh cuba sos pedas + sos kacang oriental…memang terangkat 😉

Belajar selalu lapar,
Mama Abdain.

Ucapan Kelahiran Yang Menitiskan Air mata

mak keramat

Assalamualaikum warahmatullah wabarokatuh. Selamat ulang tahun anak ku sayang. Semuga Allah merahmati kehidupan anak ku dunia dan akhirat, di makbulkan segala doa; di perkenankan segala hajat dan permohonan…menjadikan dikau anak dan isteri yang solehah dan hamba Nya yang sentiasa bersyukur…aamiin

Saya menerima ucapan kelahiran dari kejauhan daripada mak Keramat. Ia ucapan kelahiran yang menyentuh jiwa dan mengalirkan air mata.

Terima kasih mak kerana menerima saya yang serba kurang ini ke dalam hidup mak sekeluarga. Terima kasih memberi saya peluang hidup bersama anakmu di dunia persinggahan ini.

Jasanya dan kasih-sayangnya tiada bertepi buat kami. Saya banyak terinspirasi dengan mak. Hinggakan cara saya menyusun pinggan di dapur pun mengikut cara mak. Banyak pelajaran yang baik dan berharga yang boleh dikutip sepanjang saya bergelar menantu kepada mak.

Moga Allah memasukkan mak ke dalam syurga.
image

image
image

p/s: Terima kasih juga buat semua yang memberi tanda ingatan sempena hari lahir ini, semoga Allah memberi sebaik-baik balasan buat kalian.

Love
Anakmu

Siri Kembara UK : Hari pertama Abdul ‘Alim bersekolah rendah

Malam tadi Abdul ‘Alim sudah bimbang untuk ke sekolah, katanya ada budak nakal. Katanya, dia tidak mahu membesar, dia suka menjadi kecil selama-lamanya, dia bimbang jika dia meningkat dewasa, mama akan menjadi tua.

image

Abdul ‘Alim sudah menginjak ke usia 5 tahun pada bulan lepas, dia sudah semakin tinggi, beberapa cm lagi untuk mengejar ketinggian abangnya. Dia sangat pemalu, namun jika telah lama berkenalan dengannya, dia akan bertanya setiap soalan tanpa henti.

image

Pagi tadi, selepas bersarapan, Abdul ‘Alim dan abangnya begitu bersemangat berbanding hari semalam, mungkin bersemangat dengan uniform baru.

image

Dalam hati saya, terlalu cepat dia membesar, daripada bayi dahulu tiba-tiba telah membesar sepetah ini. Semoga catatan ini dapat menjadi memori ketika dia dewasa kelak.

image

Semoga Allah memberi kebaikan yang banyak padanya di jalan ilmu ini. Selamat memulakan persekolahan anakku yang tersayang.

Mencintaimu
Mama

Siri Kembara UK: Puasa Yang Panjang

Tahun ini adalah tahun keempat meraikan bulan Ramadhan di bumi perantauan pada musim panas. Berpandukan Skyprayer sebagai rujukan waktu solat, bermula lebih kurang +/-3.30 pagi waktu Subuh hingga jam +/-10.00 malam. Hampir 20 jam berpuasa jika dibundarkan. Ia waktu yang panjang. Dan cabaran bukan sedikit. Namun suhu dingin Glasgow sekitar 14 darjah celcius banyak membantu saya melalui saat-saat puasa yang panjang ini.

Kawan-kawan yang belum Islam di pejabat seringkali terkejut dengan waktu puasa yang panjang itu. Malah ada yang menyangka umat Islam berpuasa selama satu bulan tanpa berbuka. Sampai ada yang mahu memeluk saya tanda mereka kasihan saya berpuasa dan masih berada di makmal pada jam 9 malam! Namun saya fikir ini satu peluang bagi saya berbual dengan mereka tentang Ramadhan dan saya mahu mereka tahu bahawa puasa membantu saya lebih fokus dengan kerja di makmal. Puasa tidak mengganggu komitmen saya pada kerja PhD ini. Apalah sangat kesukaran ini, ada saudara seagama saya yang melalui detik berpuasa yang lebih sukar, peperangan, kemiskinan dan macam-macam lagi.

Sepanjang peninggalan suami dan anak-anak yang balik ke tanahair, saya ditemani kawan-kawan yang baik hati dan mulia akhlak. Kami membaca Al-Quran bersama, berbuka bersama, solat bersama, masak bersama pada hari-hari tertentu. Moga Allah memberi kebaikan yang banyak kepada sahabat-sahabat saya yang yang tinggi budi pekerti ini. InshaAllah semoga kumpulan kebaikan ini akan berterusan selepas tempoh Ramadhan ini.

Saya begitu hiba, Ramadhan akan meninggalkan saya lagi, ia masa yang begitu singkat meskipun tempohnya panjang.

Nomad akademik di hujung Ramadhan,

Izah

Siri Kembara UK: Sukar Menjadi Pemimpin

Beberapa ketika yang lalu, saya telah dilantik menerajui satu biro di dalam salah sebuah persatuan di sini. Ia bukan tugas yang mudah ditambah lagi pada tahun tersebut biro kami beserta biro-biro yang lain perlu menguruskan kontinjen dan atlet Malaysia yang datang menyertai sukan Komanwel di sini sewaktu majlis berbuka puasa dan majlis sambutan hari raya. Ia lebih mencabar lagi apabila saya bersama dua anak kecil, suami malah sedang berada dalam tahun 3 pengajian ketika itu. Namun Allah itu Maha Adil, perjalanan PhD saya sangat lancar.

Antara aktiviti lain yang diterajui oleh biro kami ialah mengadakan nurseri untuk anak-anak sewaktu program biro lain sedang berlangsung, menganjurkan pasar jualan secara online dengan kerjasama sebuah persatuan lain di sini dan lain-lain aktiviti yang menarik.

Setiap kali saya membeli barang untuk biro kami, saya akan membeli sekurang-kurangnya dua set permainan. Satu untuk persatuan dan satu lagi untuk kegunaan anak-anak saya (menggunakan wang sendiri sudah tentu). Saya takut, saya takut anak-anak saya menggunakan permainan yang bukan milik mereka, apatah lagi jika mainan tersebut hak milik persatuan. Saya begitu takut jika kami ada terguna barang milik awam di sini.

Setelah beberapa bulan saya merehatkan diri daripada aktiviti persatuan, saya kembali membantu menguruskan aktiviti nurseri. Namun, saya menjadi sedih apabila barang-barang tersebut menjadi terbiar, koyak rabak malah banyak alatan mainan yang hilang dalam simpanan. Bukankah ia milik awam yang perlu dijaga dengan amanah? Tidakkah kita rasa takut jika kita yang menyebabkan kehilangan harta awam meskipun sebatang pensel?

Ini baru mengendalikan sebuah persatuan kecil, belum lagi menjadi pemimpin di peringkat negara. Moga Allah memberikan kita pemimpin yang amanah lagi takut pada Allah.

p/s: Ini belum lagi termasuk dengan tugas pemimpin yang perlu menjaga KEBAJIKAN dan KESELAMATAN ahli di bawah mereka. Melihat perilaku pemimpin pada hari ini adalah sangat menyedihkan. Memang benar, sukar untuk menjadi pemimpin.

Regards
Mantan ketua biro persatuan kecil
GCRC