Selamat Datang Adik Baby

Tags

#SimpananAnak

MashaAllah tabarakallah

Mama telah lama tidak hamil, lebih 12 tahun. Namun rezeki Allah itu tersangat luas, rezeki dari Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki, Allah mengurniakan berita yang sangat menggembirakan jiwa, mama hamil anak ketiga.

Kehamilan masih baru, kitaran haid mama terlewat lebih 2 minggu, tiada apa-apa simpton alahan, muntah atau loyal, mama seperti hari-hari normal, malah lebih aktif ke sana sini.

Khamis malam Jumaat yang lalu (9/6/22), mama membuat pemeriksaan urine pregnancy test (UPT), ya ia double line. Lantas mama memberitahu baba, mata baba berkaca, memeluk mama dengan erat. Ini yang kita telah lama tunggu selama ini, sekurang-kurangnya sebelum mama mencecah usia 40 tahun.

Abang dan Adik kedua-dua menjerit kegembiraan. Ini berita yang sangat-sangat menggembirakan. Abang dan Adik pernah berdoa bersungguh-sungguh hingga mengalirkan air mata memohon Allah mengurniakan mereka seorang adik baru.

Semuanya dengan hati yang sangat girang berbunga-bunga menemankan mama ke klinik terdekat di rumah Kajang, Klinik Dr Miss di Kajang Prima.

Alhamdulillah, kelihatan intrauterine gestational sac (GS) yang berusia lebih 5 minggu. Sujud syukur. Nikmat apa yang ingin didustakan?

Alhamdulillah, alhamdulillah alhamdulillah, penantian berbelas2 tahun kita sekeluarga kini telah diberi jawapan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selamat datang Adik Baby, selamat datang ke dalam keluarga kita. Kami menunggumu dengan sepenuh hati.

MashaAllah tabarakallah

#mashaAllahtabarakallah

Ummu Abdayn

Serdang

14/6/22

Tulisan Saya Berkenaan Golongan Songsang di FB Disekat

1. Sudah 2 kali posting mengenai golongan songsang dipadam.

2. Posting kali kedua, di atas nasihat beberapa teman, saya tidak menyertakan hashtag berkaitan.

3. Posting kedua juga mengakibatkan saya tidak dibenarkan menulis sebarang posting untuk 23 jam selepas ini.

4. Saya mendapat notifikasi kemungkinan akaun saya akan ditutup.

5. Mereka boleh memadam apa saja maklumat yang ingin saya sampaikan di dalam FB atau platform internet yang lain.

6. Mereka boleh menyekat kebenaran bersuara. Saya akan terus menulis.

7. Pembaca boleh mengikut tulisan saya di laman sesawang https://drnurizah.wordpress.com

Yang akan terus menulis
Dr Nur Izah

Siri Kembara Eropah: Cevapcici, Pita Buret dan Bosnian Hamburger

image

Makanan di Bosnia banyak berasaskan daging, produk tenusu, daging dan daging.

image

Antara makanan yang MESTI dicuba di sini ialah ‘cevapcici’. Set cevapcici terdiri daging berbentuk jejari yang dipanggang, bawang besar dipotong dadu dan roti yang dibakar panas (somun). Perkataan cevap mempunyai pengaruh perkataan kebab yang sering digunakan di kawasan timur tengah. Secara tradisinya makanan ini dinikmati dengan segelas yogurt.

image

Satu lagi makanan istimewa yang mesti dicuba ialah pita. Pita ada pelbagai jenis, pita keju, pita bayam dan pita daging (burek). Rasa burek seakan-akan murtabak daging di Malaysia.
image

Manakala hamburger mungkin kita sudah biasa mendengarnya. Namun hamburger di Bosnia lain rasanya, dagingnya begitu juicy dengan sos istimewa. Oh sangat sedap.
image

Harga makanan di sini lebih murah berbanding negara Eropah yang lain. Nilai matawangnya ‘Konvertabilna Marka’ atau KM lebih rendah daripada matawanh EU (€). €1 bersamaan 2KM.

Makanan Bosnia lazat !!!

Pengembara rantau Balkan
Ummu Abdayn
Sarajevo
Jun 2016

Siri Kembara Eropah: Belajar Membuat Tikvenica Bosnia

Saya suka memasak. Memasak adalah satu terapi yang menenangkan, kecuali bila tiba bab mengemas hehehe. Masakan Bosnia kali ini ialah berkonsepkan makanan tradisi seperti strudel yang menggunakan sejenis labu muda. Nama makanan ini ialah ‘tikvenica’.

image

Hari ini saya belajar sekali lagi dengan auntie Maliha, ibu Merisa, asal Bosnia dan punya darah keturunan Turki. Auntie Maliha suka menghidangkan kami makanan yang segar dari bahan alami, sayuran (bayam masak susu, timun Jepun, tomato), buah-buahan (strawberry, cherry, tembikai, honeydew), susu segar yang diperah, keju segar, yogurt, madu, jus lemon segar dan kekacang.

image

Jika beliau memasak, beliau akan memasak secara sihat, rebus ayam untuk sup, rebus daging kambing dalam pressure cooker, potong sayur segar untuk hidangan. Tidak hairan suaminya masih sihat di usia 76 tahun.

image

Hidangan yang saya belajar hari ini menggunakan labu muda dan ia digulung dalam kertas filo, dibakar di dalam oven. Buah tersebut dipotong dadu dan dicampur dengan sedikit gula dan garam. Setiap lapisan filo disapu minyak atau mentega cair.

Ia menyegarkan..

Pengembara di rantau Balkan
Ummu Abdain
Sarajevo
May 2016

Nak Duit Menjadi Berkat dan Bukan Miskin Melarat?

Semenjak beberapa ketika selepas saya bekerja dan makan gaji, saya suka buat analisa bagaimana nak optimumkan aset dan hasilkan duit berganda-ganda. Banyak buku sudah saya beli, banyak talk saya bayar, tak masuk yuran personal coach untuk solidkan perancangan kewangan saya.

Bila saya perhati keadaan sekeliling, ada yang sering keputusan wang di tengah bulan, rezeki sempit dan kehidupan perit. Ada juga saya perhati ramai yang rezeki melimpah ruah dengan aset yang berderet-deret. Rupanya mereka yang kaya ini punya plan kewangan teramat hebat.

Sebelum mereka keluarkan duit untuk apa-apa tujuan, mereka akan BERI IBU BAPA DUIT TERLEBIH DAHULU. Mereka pemurah dengan ibu bapa dan keluarga. Ini sebenarnya kunci keberkatan hidup.

Moga kita sentiasa ingatkan ibu bapa dengan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan kita untuk mereka. InshaAllah rezeki akan menjadi berkat.

Kalau kita ADA belanja makan luar dan ADA belikan anak mainan setiap bulan, takkan peruntukkan RM2 sehari untuk ibu bapa pun tak boleh? Yang hairan kenapa boleh beli benda lain tapi dengan ibu bapa tak pernah hulur. Mereputlah dan kekal miskinlah orang begini dengan sebab kedekut dengan ibu bapa tu. KEH !!!

Siri Kembara UK: Pensil Yang Tajam & Jolly Phonics

2016-04-28-10.19.55.jpg.jpeg
Masa saya kecil dahulu, mak akan pastikan pensil-pensil kami tajam. Mak kata pensil yang tajam penting. Ayah akan mengasah pensil kami adik-beradik menggunakan pengasah pensil sekerap mungkin. Rutin itu saya teruskan sampai ke hari ini. Bagi saya pensil yang tajam boleh menenangkan. Pensil yang tajam juga barangkali menjadi pemangkin seseorang itu berjaya. Itu hanya hipotesis, tiada kajian lanjut saya lakukan terhadap ketajaman pensil dan kejayaan seseorang. Malah perkataan kejayaan itupun maknanya luas. Bukan terhad segunung ijazah.
20160428_101905.jpg
Walaubagaimanapun, saya suka memastikan pensil anak menjadi tajam. Supaya tulisan mereka kemas. Moga-moga Abdul Bari dan Abdul ‘Alim akan suka menulis perkara bermanfaat sampai bila-bila.
Kerana itu, pada awal-awal pengembaraan akademik saya pada tahun 2012 dahulu, selain periuk, membeli pengasah pensil adalah antara keutamaan. Segala barang boleh dicari di Ebay, Amazon dan lain-lain kedai maya dan kedai fizikal. Yang penting pengasah pensil ini automatik, sesuai untuk saya yang malas 😉
20160425_172214.jpg

20160425_164214.jpg
Semalam, setelah selesai masak makanan anak-anak, saya terkejut bercampur gembira, Abdul Bari dan Abdul ‘Alim terus duduk membuat kerja sekolah mereka, menggunakan pensil. Si adik membaca perkataan, dan si abang menulis perkataan dan kemudian si adik pula menulis dan abang membaca (dan kemudian mereka sambung berguling!!!).
20160425_173055.jpg

20160425_173011.jpg
image

Di sini kerja rumah banyak tertumpu kepada MENGEJA dan MEMBACA. Kaedah yang mereka gunakan adakah kaedah JOLLY PHONICS, iaitu menggunakan bunyi sebagai asas ejaan sesuatu perkataan. Saya dan suami turut menjadi murid belajar daripada anak-anak kami. Dan menariknya, sekolah turut menyediakan bengkel khas Jolly Phonics ini untuk ibu-bapa, supaya mereka boleh menyambung mengajar kaedah ini kepada anak-anak ketika berada di rumah.

Contoh kaedah Jolly Phonics:
Ah untuk abjad A
Beh untuk abjad B
Heh untuk abjad H dan seterusnya.

Serius Jolly Phonics ini sangat ‘jolly’. Dan anak akan lebih pantas membaca dengan seronok!!! Boleh lihat pautan ini untuk Jolly Phonics Overview http://jollylearning.co.uk/overview-about-jolly-phonics/

Ibu dua anak lelaki yang belajar Jolly Phonics,
Ummu Abdayn
White Street
28th April 2016

Siri Kehidupan: Ibuku Stroke

Minggu tersebut saya tidak boleh ke mana-mana. Saya perlu menyudahkan Chapter 7, chapter kedua terakhir sebelum menyerahkannya kepada Dr Scott. Dalam masa yang sama, pembetulan Chapter 1 oleh Prof Fraser perlu diselesaikan. Kepala saya berat.

Sudahlah komputer di universiti tidak selaju di rumah, saya perlu berulang alik dengan kerap universiti dan rumah yang jaraknya 5 minit perjalanan. Graph Pad Prism 6 ada di rumah, tidak di universiti manakala EndNote 7 ada di universiti, tidak di rumah.

Kerja sekolah anak-anak dan sesi mengaji mereka diuruskan suami, saya memasak makanan seringkas mungkin untuk menjimatkan masa. Jadual saya dan suami ketat dengan pengajian Phd kami dan mengurus anak-anak sendiri tanpa khidmat pembantu. Ia mencabar, setiap saat adalah begitu berharga.

Tiba-tiba saya mendapat berita daripada Along, mak didiagnose menghidapi minor stroke. Mata saya berpinar dan fikiran berpusing. Ia sangat memeranjatkan. Tangan saya menggigil ketika menerima berita itu. Otak terhenti memikirkan kerja penulisan yang masih menimbun.

Mak tidak boleh berjalan, seluruh tangan kiri kaku, penglihatan mak gelap. Ayah kata semua ni berlaku waktu Subuh, mak sedang mengaji Al Quran, tiba-tiba mak menunduk ke depan dan air liur mak meleleh.

Ayah terus bawa mak daripada masjid ke hospital Seremban. Mak disahkan mempunyai minor stroke, namun keadaan mak semakin merosot. Mak menghidapi cerebrovascular accident with left hemiparesis. Mak disahkan stroke.

Bersambung…

Anak Cikgu Zainab

Hospital Seremban

Ya Allah, Sembuhkanlah Ibuku

image

Mak adalah idola saya sejak dahulu. Saya sangat bangga dengan mak. Mak merupakan anak yatim sewaktu kecil, berasal daripada keluarga paling susah di kampung. Tiada harta, tiada pangkat apatah lagi nama. Namun semangat mak kuat, kental menjadi kakak sulung yang memelihara ibu dan adik-adiknya. Mak kuat menyambung pelajaran hingga menjadi seorang guru. Ia bukan perjalanan yang mudah.

Mak selalu berpesan, dengan pendidikan kita boleh mengubah nasib keluarga. Pesan mak saya pegang hingga ke hari ini. Saya menyambung pengajian ini pun kerana inspirasi daripadanya. Tajuk Phd saya juga berkisar tentang penyakit mak.

Waktu terakhir pengajian Phd ini sememangnya kritikal, namun Allah punya perancangan yang lebih baik. Mak ditimpa penyakit. Hati saya luluh dan pedih, tidak dapat berkhidmat secara langsung di sisi mak. Perasaan ini mahu pulang sesegera mungkin. Saya bersyukur tidak terhingga Along sentiasa di sisi mak dalam tempoh yang sukar ini. Moga Allah memberi sebaik-baik balasan buat Along yang tercinta.

20151226_130837.jpg

Moga Allah memberi kesembuhan kepada mak dan memudahkan laluan mak untuk terus ke syurga.

Ya Allah sembuhkan ratu hatiku.

Mencintaimu
Anak Cikgu Zainab

Biasiswa pelajaran ke luar negara, pentingkah?

Beberapa tahun yang lalu, saya terjumpa dengan pelajar warga Iraq yang menyambung pengajian Phd di University of Glasgow. Kita semua tahu, betapa Iraq negara yang baru bangun dari peperangan. Saya bertanya kepada pelajar terbabit,
“Adakah Iraq tetap menghantar rakyatnya melanjutkan pengajian sewaktu perang?”
Jawabnya tenang,
“Sudah tentu, yang berperang berperang, pendidikan rakyat tetap diutamakan”.

Saya terkesima dan terperanjat. Saya bertambah terperanjat lagi apabila mendapat berita daripada sumber yang kukuh bahawa Malaysia kini menghadkan penghantaran ke pelajar ke luar negara. Malah ada universiti yang menghentikan terus penghantaran ke luar negara.

Ya, sumber ekonomi kita berkurang akibat banyak faktor, harga minyak mentah turun mendadak. Tetapi adakah cara berjimat yang paling utama dengan menghentikan pelajar ke luar negara?

Bagaimana Iraq boleh tetap menghantar pelajarnya ke luar dalam keadaan negara bukan sahaja bermasalah ekonomi tetapi kacau bilau??? Memang patutlah orang Iraq terkenal dengan daya intelektual yang tinggi dari dahulu hingga kini.

Adakah pemikiran pembuat dasar dan pemimpin ada tercicir di mana-mana? Ahh, serabut sel neuron saya mengenangkan cara fikir begini.

Hingga ke hari ini, akan kelihatan warga Iraq yang bertebaran sekitar universiti. Malah sahabat anak-anak saya juga ada yang berasal dari Iraq, namanya Abdullah. Ayah Abdullah merupakan pensyarah di University of Baghdad, juga pelajar Phd di University of Glasgow. Moga Allah merahmati dan melindungi warga ilmu Kota Baghdad.

p/s: Pesanan untuk diri dan mereka yang mendapat biasiswa duit rakyat, kita PERLU BALIK berkhidmat kepada rakyat, meskipun tawaran pekerjaan di luar negara sangat mengiurkan.

Yang menadah ilmu emas di luar negara,
Izah